MEMBACA AMALAN MULIA...JADIKAN MEMBACA BUDAYA HIDUP KITA...

Wednesday, 23 November 2011

Pak Kaduk

Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama Indera Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adap istiadat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi ada pun tabiat baginda itu terlalulah suka menyombong dan berjudi, sehingga menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian, habislah sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Sallallahu alaihi wasalam kerana raja-raja dan orang besar-besarnya terlalu amat suka mengerjakan pekerjaan maksiat itu.


Maka adalah pula seorang tua sedang pertengahan umur namanya Pak Kadok, tinggal ditepi sungai ujung negeri itu juga. Ada pun akan Pak Kadok ini terlalu dungu serta dengan tololnya. Maka adalah kepada suatu hari Pak Kadok berkata kepada isterinya, aku ini mak Siti ingin pula rasanya hendak pergi menyambung kegelanggang baginda itu kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyambung beramai-ramai di situ. Mari kita sambung ayam biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya terlalu bertuah. Boleh kita taruhkan kampung kita kepada baginda. Kalau menang kita tentulah kita mendapat duit baginda itu.


Maka ujar isteri Pak Kadok, jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyambung, bawa ayam kita itu.
Maka sahut Pak Kadok, jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya. Maka kata isterinya, bagaimana awak hendak membuatkan baju dan seluar ini. Jikalau dipakai kelak tentulah carik bertelanjang tengah gelanggang sambungan itu. Bukankah awak malu besar? Ujar Pak Kadok, tiada mengapa. Buatkan juga lekas-lekas aku hendak pergi. Setelah itu isteri Pak Kadok pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi.


Maka kata Pak Kadok, usahlah di jahit, pelekat sahajalah supaya cepat. Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya dilekatlah olehnya. Apabila sudah, lalu diberikan kepada Pak Kadok, maka ia pun segeralah memakai pakaiannya sedondon iaitu berbunga tanjung, merah, kuning, hitam dan putih, terlalu hebat rupanya, tambahan pula berkena tengkolok helang menyongsong angin. Apatah lagi tampaknya Pak Kadok seperti juara yang maha faham pada sambung menyambung. Setelah sudah bersedia sekaliannya, Pak Kadok pun lalu turun menangkap ayamnya biring Si Kunani itu, serta dengan tabung tajinya, lalu berjalan menuju kegelanggang baginda itu. Selang tiada berapa lamanya, ia pun sampailah ketengah medan menyambung itu.
Sehingga setelah dilihat oleh baginda akan Pak Kadok datang itu, maka dikenallah oleh baginda seraya bertitah, Hai Pak Kadok, apa khabar? Menyambungkah kita? Maka sembah Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayamnya itu lalu disambutkan oleh baginda serta diamat-amati.


Diketahuilah oleh baginda tersangat bertuah ayam Pak Kadok itu. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya. Setelah didengar oleh Pak Kadok akan titah baginda menggula dirinya itu, percayalah ia. Maka sembahnya Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jikalau sudah dengan titah duli yang maha mulia, relalah patik, seperti titah itu sedia terjunjung di atas jemala ubun-ubun patik.


Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan ayam masing-masing. Maka sangatlah sukacita baginda beroleh ayam Pak Padok itu. Maka baginda pun bertitah kepada juara-juaranya menyuruh bulang ayam itu. Maka Tok Juara tua pun lalulah membulang balung ayam biring Si Kunani yang bertukar dengan pak Kadok itu mengenakan taji bentok alang serta dengan berbagai-bagai isyarat dan petuanya. Maka Pak Kadok pun segeralah membulang ayamnya bertukar dengan baginda itu, iaitu tuntung tajinya dihalakan kehadapan dan putingnya kebelakang. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini? Soronglah dahulu supaya beta lihat.


Maka sembah Pak Kadok, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patek ini tiada harta apa harta yang ada, hanya kampong sebuah itu sahaja. Jikalau ada ampun dan kurnia kebawah dulu Tuanku, kampong itulah patik gadaikan kebawah duli Tuanku menjadi tanggungan memohonkan berhutang kadar lima puluh rial. Maka titah baginda, baiklah. Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kadok itu kepada dengan memegang gadaian kampung itu. Telah sudah, baginda pun menyorongkan taruhnya lima puluh rial juga, jumlahnya seratus rial. Maka serta sudah, baginda pun mengajak Pak Kadok melepaskan ayam masing-masing. Sembah Pak Kadok, silakanlah Tuanku.


Maka baginda pun lalulah menguja-uja ayam keduanya itu. Maka naiklah bengis keduanya, serta meremang bulu suak ditengkuknya, lalulah bersama-sama melepaskan ayam masing-masing. Maka ayam biring Si Kunani pun datanglah menggelepur ayam jalak. Dan Si Jalak pun segeralah membalas pula, tetapi kasihan,sungguh pun Si Jalak membalas, percuma saja kerana tajinya dibulang oleh Pak Kadok, juara tuntungnya kehadapan dan putingnya kebelakang. Jadinya bila Si Jalak membalas itu tertikamlah pada dadanya sendiri lalu tersungkur menggelupur ditengah gelanggang itu, kerana dua liang sudah lukanya sekali terkena tikam oleh taji Si Biring dan sekali ditikam oleh tajinya sendiri.


Setelah Pak Kadok melihatkan ayam jalak sudah mati dan Si Biring itu menang maka ia pun lupalah akan hal ia telah bertukar dengan baginda tadi. Wah apatah lagi ia pun tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta melompat-lompat lalu menyerukan tuah ayamya itu. Maka oleh tersangat bertepuk dan melompat itu, habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu, bercabiran berterbangan oleh angin berkeping-keping kesana kemari bercampang-camping. Maka Pak Kadok pun tinggallah berdiri ditengah khalayak yang banyak itu dengan bertelanjang bogel sahaja. Hatta demi dilihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tentera hina dina sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan dengan tempek soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga baginda pun tertawa bersama-sama.


Maka ada pun akan Pak Kadok, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia pun tercengang pula kerana pada sangkanya mereka itu menumpang kesukaan dirinya itu. Kemudian apabila ia menoleh kepada tubuhnya, barulah diketahuinya akan dirinya bertelanjang bulat itu. Aduhai! Malunya yang amat sangat lalu ia berkerja lari dengan bersungguh-sungguh hati, lansung pulang ke rumahnya. Maka baginda pun berseru dengan nyaring suaranya. Inilah malang Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai.


Maka baginda dengan sekalian yang ada di dalam medan sabung itu pun kembalilah masing-masing kerumahnya. Ada pun akan Pak Kadok lari itu tiadalah ia memandang lagi kekiri kekanan. Serta ia sampai kerumahnya seraya terpandang oleh Mak Siti, maka terpanjatlah orang tua itu seraya berkata, Apa kena awak, Pak Kadok seperti orang gila ini?


Maka oleh Pak Kadok di kabarkannya ialah daripada awal hingga keakhirnya. Serta didengar sahaja oleh isterinya akan hal suaminya itu, ia pun menagislah kerana mengenangkan untungnya yang malang itu dengan berbagai-bagai sungut leternya akan Pak Kadok oleh kebodohannya itu. Maka Pak Kadok pun diamlah terkosel-kosel, tiada berani menjawab akan isterinya lalu ia pergi membuat kerjanya sehari-hari itu juga.
Sekali peristiwa Pak Kadok dijemput oleh orang makan kenduri. Mula-mula datang orang yang dihilir sungai tempatnya tinggal itu mempersilakan Pak Kadok kerumahnya pada esok hari, waktu zohor iaitu makanannya seekor kerbau. Maka katanya Baiklah. Setelah mereka itu sudah kembali, ada seketika datang pula orang dari hulu sungai itu menjemput Pak Kadok kerumahnya pada esok hari juga tatkala tengah hari muda, iaitu jamuannya memotong lembu dua ekor pula. Itu pun disanggupnya juga.


Telah hari malam, Pak Kadok pun tidurlah kedua laki isteri. Ada pun adapt pak Kadok telah lazim padanya setiap pagi memakan nasi dingin yang telah direndam oleh isterinya pada malam itu. Apabila sudah makan nasi yang tersebut itu, barulah ia pergi barang kemana-mana membuat kerjanya. Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi pak Kadok pun bangunlah bersiap memakai, lalu turun memikul pengayuh berjalan menuju kepangkalan. Serta dilihat oleh isterinya ia pun menyeru akan suaminya katanya, Hai Pak Siti, tidakkah hendak makan nasi rendam ini lagi? Sementangkan nak makan lembu dan kerbau nasi ini ditinggalkan sahaja. Maka sahut Pak Kadok, Tak usahlah, curahkan ketanah biar dimakan oleh ayam kita. Maka oleh isterinya dengan sebenar nasi itu dibuangnya ketanah, dan Pak Kadok pun turun keperahu lalu berkayuh.


Ada pun pada masa itu air sungai sedang surut terlalu amat derasnya. Maka Pak Kadok berfikir di dalam hatinya, kemana baik aku pergi. Jika ke hilir tiada penat dan teruk aku berkayuh, hanya menurutkan ayir dihilir sahaja, tetapi kerbau seekor kemanakah padanya. Kalau begitu baiklah aku mudek juga. Ia pun lalu berkayuh mudek menongkah air surut itu dengan terbengkil. Apabila penat dia berhenti sambil berfikir pula, dan perahunya hanyut balik kehilir setanjung dua tanjung jauhnya berkayuh pula. Demikianlah hal Pak Kadok, kayuh-kayuh berhenti dengan berfikir juga.


Beberapa lamanya air pun tenang surut. Hampir akan pasang baharulah Pak Kadok sampai kerumah jemputan itu, tetapi apalah gunanya. Sia-sia sahajalah penat jerehnya itu kerana matahari pun telah zuhur, jamuan itu pulang ke kampung masing-masing. Maka apabila terlihat oleh tuan rumah akan Pak Kadok datang itu, ia pun berkata, Amboi kasihannya di hati saya oleh melihatkan penat sahaja Pak Kadok datang, suatu pun tidak ada lagi, yang ada semuanya telah habis. Malang sungguhlah Pak Kadok ini. Telah didengar oleh Pak Kadok, maka ujarnya, sudahlah apa boleh buat. Sahajakan nasib saya.


Maka ia pun berkayuhlah hilir pula, hasratnya hendak mendapatkan rumah yang memotongkan kerbau itu pula, tetapi air sudah pasang deras. Maka Pak Kadok pun berkayuhlah bersungguh-sungguh hatinya menongkah air pasang itu, terbengkil-bengkil di tengah panas terik dengan lapar dahaganya. Tetapi kerana bebalnya itu tiadalah ia mahu singgah kerumahnya langsung sahaja ia kehilir, hendak segera menerpa kerbau yang lagi tinggal itu. Sehingga air pasang hampir akan surut, barulah Pak Kadok sampai kesana pada waktu asar rendah dan sekalian orang jemputan pun sedang hendak turun berkayuh pulang kerana sudah selesai jamuan itu.


Maka apabila dilihat oleh Pak Kadok akan hal itu ia pun tiadalah hendak singgah lagi kerumah orang kenduri itu, lalu ia memaling haluan perahunya, langsung berkayuh mudek dengan rungutnya seperti baung dipukul bunyinya, kerana terlalu amat penatnya terpaja-paja ke hulu kehilir di tengah panas terik itu, perut pun sudah kebuluran dan mata Pak Kadok naik berbinar-binar, tambahan pula mudek itu pun menongkah juga. Maka pada waktu senja baharulah ia sampai kepangkalannya seraya menambat perahu dan naik ke rumah. Shahadan, apabila dilihat oleh isterinya akan muka suaminya masam dan diam tiada berkata-kata, maka ia pun menyeru akan Pak Kadok, katanya apakah agak sebabnya orang pergi memakan lembu dan kerbau ini masam sahaja? Apa lagi yang kekurangan? Perut sudah kenyang makan daging.


Maka berbagai-bagai bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun naiklah metanya, serta mengambil kayu api dan berkata, kenyang memakan kepala bapa engkau. Lalu ia memalu kepala isterinya. Dengan takdir Allah, sungguh pun sekali pukul sahaja, isteri Pak Kadok pun rebah lalu mati. Setelah dilihat oleh Pak Kadok isterinya sudah mati, ia pun merebahkan dirinya disisi isterinya itu lalu menangis mengolek-golekkan dirinya seraya berkata, aduhai malang nasibku ini, sudahlah penat berkayuh kehulu kehilir, mana kebuluran, sampai kerumah isteriku pula mati oleh perbuatanku juga. Maka berbagai-bagailah bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun menjemput segala pegawai akan menanamkan isterinya itu.


Setelah selesai daripada pekerjaan itu, maka Pak Kadok pun berniat hendak pindah dari rumahnya, bertandang duduk barang kemana-mana rumah yang lain, asalkan boleh ia meninggalkan kampung halamannya itu sudahlah, kerana fikirannya dari sebab ia tinggal di rumah dan kampungnya itulah, maka ia beroleh kemalangan yang begitu sialnya. Setelah tetaplah fikirannya yang demikian, maka Pak Kadok pun mengemaskan sekalian harta bendanya lalu diangkatnya turun keperahu. Serta bersedia ia pun melangkah dengan tauhid hatinya meninggalkan kampung halaman dengan rumah tangganya, akan berpindah ke kuala sungai itu menumpang duduk di rumah seorang handainya disana.


Arakian, Pak Kadok pun membabarkan layarnya seraya menujukan haluan perahunya ke kuala. Tetapi kasihan. Percumalah penat jereh Pak Kadok membentang layar dan mengemudikan perahunya itu, dari kerana sungguh pun pada masa ia menarik layar tadi angin paksa sedang kencang bagus, tetapi serta layarnya sudah sedia, angin pun mati seperti direnti-rentikan oleh yang hasad akan Pak Kadok lakunya. Maka perahu Pak Kadok pun hanyutlah terkatong-katong kehulu kehilir, ketengah dan ketepi menantikan angin. Beberapa lamanya dengan hal yang demikian, hari pun hampirlah akan petang, tubuh Pak Kadok terlalu amat letih dan lesunya. Lama kelamaan datang bebal hatinya serta merampas lalu ia menurunkan layer dan melabuh sauhnya seraya membentangkan kajang berbaring-baring melepaskan jerehnya.


Maka dengan kudrat Allah yang maha kaya menunjukkan kemalangan nasib Pak Kadok, angin paksa pun turunlah berpuput dengan ugahari kencangnya seolah-olah khianatkan Pak Kadok lakunya. Tetapi sia-sialah sahaja puputan bayu yang sedemikian itu moleknya hingga menjadi paksa yang maha baik dengan sebab kemalasan menjadi kemalangan bagi diri Pak Kadok, hingga ditaharkan perahunya ulang-aling di palu oleh ombak dengan gelombang ditengah sungai itu, seraya berkata Cheh! Angin bedebah ini sahajakan ia hendak menunjukkan makarnya kepada aku. Sedanglah sudah sehari suntuk aku hanyut, tak mahu turun, agaknya oleh tegar hatiku. Biarlah tak usah aku belayar, asalkan puas rasa hati ku. Jangan aku menurutkan kehendak engkau.


Kemudian ia pun tidurlah dengan terlalu amat lenanya kerana lelah dan kelaparan. Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi Pak Kadok pun bangunlah membongkar sauhnya seraya berkayuh perlahan-lahan seharian itu, hingga petang barulah ia sampai kerumah sahabatnya itu, seraya mengangkat sekalian barang-barangnya naik kesitu. Maka tinggallah Pak Kadok menumpang di rumah handainya itu selama-lamanya dengan tiada sekali-kali ingatannya hendak kembali kekampung halamannya dari sebab bodohnya.


Maka dari kerana kemalangan diri Pak Kadok itu sentiasa di perbuat orang akan bidalan oleh sekalian mereka pada zaman sekarang dengan seloka, demikianlah bunyinya: Aduhai malang Pak Kadok! Ayamnya menang kampung tergadai Ada nasi di curahkan Awak pulang kebuluran Mudek menongkah surut Hilir menongkah pasang Ada isteri di bunuh Nyaris mati oleh tak makan Masa belayar kematian angin Sudah di labuh bayu berpuput Ada rumah bertandang duduk.

Angsa Budiman

Kononnya, pada suatu hari Raja Sulaiman menitahkan burung belatuk memanggil sekalian haiwan supaya menghadap baginda. "Perintahkan semua haiwan datang ke istana beta. Sudah lama beta tidak bertemu dengan sekalian haiwan," kata baginda. Tanpa berlengah lagi, terbanglah Sang Belatuk ke segenap penjuru rimba. Tuk! Tuk!uk! Sang Belatuk mengetuk batang pokok. "Apa berita yang engkau bawa, wahai Sang Belatuk?" tanya sekalian haiwan. "Aku membawa titah perintah daripada Raja Sulaiman. Baginda menitahkan semua haiwan pergi menghadapnya di istana," ujar Sang Belatuk. Selepas itu, Sang Belatuk terbang ke tempat lain pula. Tuk! Tuk! Tuk! Sang Belatuk ngetuk batang pokok. Begitulah caranya burung belatuk membawa berita kepada sekalian haiwan. Semua haiwan berasa gembira apabila mengetahui berita itu. Mereka akan berlumba-lumba untuk pergi ke istana Raja Sulaiman. Mereka sangat gembira jikalau dapat menghadap Raja Sulaiman. Baginda akan mengurniakan hadiah kepada sekalian haiwan.


Namun, ada juga sesetengah haiwan yang enggan pergi menghadap Raja Sulaiman. "Istana Raja Sulaiman itu tersangat jauh. Matilah aku di tengah perjalanan sebelum dapat sampai ke sana," kata segelintir haiwan yang sengaja mencari helah. Haiwan yang ingkar itu akan dijatuhi hukuman berat oleh Raja Sulaiman. Tersebutlah kisah seekor angsa. Sang Angsa sangat gembira apabila menerima berita Setelah beberapa lama berjalan, Sang Angsa tiba di tebing sungai. "Kalaulah aku pandai berenang, nescaya aku boleh cepat sampai ke istana Raja Sulaiman," kata Sang Angsa dalam hatinya. Sang Angsa ketika itu masih belum pandai berenang. Terpaksalah Sang Angsa terus berjalan perlahan-lahan.


Di pertengahan jalan, Sang Angsa terserempak dengan seorang perempuan tua. Perempuan tua itu sedang menangis "Mengapa mak cik menangis?" tanya Sang Angsa. Perempuan itu lalu memberitahu, "Aku tersangat lapar. Bekalan makananku sudah bis." Sang Angsa bersimpati pada perempuan itu. "Janganlah mak cik bersedih. Saya akan tinggal di sini selama beberapa hari untuk bertelur. Telur saya boleh mak cik jadikan sebagai makanan," ujar Sang Angsa. Tinggallah Sang Angsa itu di situ selama beberapa hari.

Setiap hari Sang Angsa bertelur sebiji. Perempuan tua itu sangat gembira kerana dia sudah memperoleh bekalan kanan. daripada Sang Belatuk itu"Inilah kali pertama aku berpeluang untuk berjumpa Baginda Raja Sulaiman!" ujar Sang Angsa dengan penuh gembira. Kononnya, Sang Angsa ketika itu berbulu hitam dan masih berleher pendek. "Engkau hodoh! Engkau tidak layak masuk ke dalam istana Raja Sulaiman," Sang Biawak mengejek. Sang Angsa sangat bersedih hati mendengar ejekan itu. Namun, Sang Angsa tidak mempedulikan ejekan tersebut. Tanpa berlengah lagi, Sang Angsa berjalan perlahan-lahan menuju ke istana Raja Sulaiman.


"Tentulah aku akan lewat menghadap Raja Sulaiman," fikir Sang Angsa. Sang Angsa berasa sedih. Namun, Sang Angsa tidak mahu perempuan tua itu mati kerana kelaparan. Beberapa hari kemudian, perempuan tua itu memberitahu Sang Angsa, "Sekarang bolehlah engkau pergi ke istana Raja Sulaiman. Baki telur yang ada ini sudah cukup untuk mak cik." Perempuan tua itu mengucapkan terima kasih kepada Sang Angsa. "Engkau adalah seekor angsa yang sungguh budiman," kata perempuan tua itu lagi. Sang Angsa lalu meneruskan perjalanannya. Semua haiwan sudah berada di istana Raja Sulaiman. Sang Angsa tiba, tetapi sudah sangat terlewat. "Beritahu pada beta, mengapa engkau lambat sampai?" Raja Sulaiman bertitah kepada Sang Angsa.


 Sang Angsa sangat ketakutan. Namun, Sang Angsa menceritakan perkara sebenar yang telah terjadi itu kepada Raja Sulaiman. Baginda Raja Sulaiman berasa sangat sukacita kerana Sang Angsa telah menolong perempuan tua itu. "Engkau adalah seekor angsa yang sangat budiman," ujar Raja Sulaiman. "Sekarang beta akan kurniakan hadiah sebagai balasan atas budi baik kamu," kata ja Sulaiman. Sang Angsa sangat gembira.Kamu akan menjadi seekor haiwan yang berleher panjang," ujar baginda lagi.


Terkejutlah Sang Angsa mendengar kata-kata itu. Semua haiwan ketawa berdekah-dekah. Mereka menyangka Sang Angsa akan menjadi seekor haiwan yang lebih hodoh. Tetapi sangkaan itu salah! Sang Angsa menjadi haiwan yang sangat cantik. Lehernya panjang, bulunya putih, dan pandai pula berenang. Sang Biawak pula dijatuhi hukuman oleh Raja Sulaiman kerana pernah mengejek Sang Angsa. Lidahnya menjadi panjang, suka terjelir, dan bercabang. Kononnya, itulah sebabnya sampai sekarang angsa menjadi haiwan cantik, berbadan putih bersih, suka berenang, dan dipelihara oleh manusia. Biawak pula terpaksa tinggal di dalam hutan kerana berasa malu. Selain itu, biawak juga suka makan telur kerana kononnya sangat marah pada angsa, ayam, dan itik.

Mat Jenin

Syahadan, maka tersebutlah kisah seorang pemuda yatim piatu yang dikenali sebagaiMat Jenin. Pemuda itu hidup sebatang kara di sebuah desa di gerubuk peninggalan ibubapanya. Gerubuk itu teramatlah daifnya dengan dindingnya yang senget dan atap rumah yang bocor apabila hujan turun dengan lebatnya. Akan tetapi semua itu tidaklah dipedulikan oleh Mat Jenin kerana dia amat malas membuat kerja. Malah untuk membaiki gerubuk pusaka itu pun tidak di pedulikannya. kerjanya pula sehari-harian hanyalah memasang angan-angan.

Maka mashyurlah seluruh daerah itu tentang tabiat dan perangainya itu menjadi buah mulut orang. Akan apabila Mat Jenin berasa lapar, pergilah ia ke kedai makan dan duduk menunggu di situ kalau-kalau ada orang yang baik hati yang akan menanggung makan-minumnya. Maka kalau ada sesiapa yang ingin berseronok, segeralah dia menegur Mat Jenin bertanyakan angan-angannya yang terbaru. Mat Jenin pun bersegeralah menceritakan angan-angannya itu tanpa bertangguh lagi apatah lagi jika yang menegur itu pula menyuruh dia meminta apa-apa makanan yang diingini.

 Maka Mat Jenin akan bercerita sehingga sehari suntuk tidaklah dia mahu berhenti. Apabila kerbau sudahpun balik ke kandang, ayam dan itik pulang ke sarang, api menyala di dian, barulah dia balik ke gerubuk buruknya itu untuk tidur. Angin ribut yang bertiup pun tidak dibimbangnya, malah jikalau gerubuk buruknya bergegar dipukul angin, dia hanyalah menarik kain selimutnya dengan lebih rapat lagi sambil berangan-angan. Katanya jikalaulah roboh gerubuk itu, tentulah jiran-jiran sekeliling akan membantu dia membina rumah baru. Jadi tidaklah lagi dia perlu bersusah-payah membaiki teratak buruk itu. Akan begitulah kerja Mat Jenin itu sehari-hariani. Jika apabila tidak ada orang yang hendak membayar makan-minumnya barulah dia mencari kerja. Tetapi kerja yang dibuatnya pula dipilih-pilih, tidaklah dia ingin membanting tulang di sawah padi kerana panas, ataupun pergi menangkap ikan kerana mabuk katanya. Oleh itu apa yang sanggup dilakukan oleh Mat Jenin hanyalah memanjat pokok kelapa, kerana menurutnya kerja itu teduh dan berangin pula. Itupun Mat Jenin hanyalah mengambil upah memanjat pokok kelapa apabila dia memerlukan duit belanja.

Tersebutlah pada suatu hari nasib Mat Jenin tidak begitu baik kerana tidak ada orang yang ingin membayar makan-minumnya. Maka terpaksalah dia mencari-cari sesiapa yang ingin mengupahnya memanjat pokok kelapa. Tetapi lebih malang lagi nasibnya itu, pada hari itu dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun yang memerlukan kelapanya dipetik. Maka terpaksalah dia merayau-rayau sekeliling kampung dalam keadaan kelaparan. Sedang dia duduk berfikir-fikir seorang diri tentang apa yang perlu dilakukannya maka nampaklah olehnya seorang nenek tua sedang mendongak-dongak ke atas melihat-lihat buah kelapa.

"Nenek nak kelapa? Saya boleh tolong panjatkan." sapa Mat Jenin Nenek itu berpaling ke arah Mat Jenin
"Memang nenek mencari buah kelapa untuk memasak. Boleh ke cucu tolong petikkan untuk nenek?"
"Sudah tentu boleh nenek. tetapi apa yang nenek boleh berikan kepada cucu sekiranya cucu tolong petikkan buah kelapa nenek?" tanya Mat Jenin.
Jawab nenek tua itu, "Nenek tak ada banyak benda nak nenek beri. Tetapi kalau cucu sanggup petikkan buah kelapa ini untuk nenek, bolehlah cucu makan sekali dengan nenek. Lagipun nenek boleh berikan beberapa biji telur ayam untuk cucu."
"Saya nak buat apa telur ayam tu." kata Mat Jenin.

"Telur ayam ini kalau cucu eramkan, nanti akan menetas. Bolehlah cucu membela ayam,"jawab nenek itu lagi. Mat Jenin duduk berfikir sejenak di dalam hatinya, kalau telur itu menetas sudah tentu aku akan dapat membela ayam untuk aku jual.
" Baiklah nenek, sangguplah saya memanjat kelapa ini untuk nenek." Setelah berkata demikian, maka Mat Jenin pun mulalah memanjat pokok kelapa itu. Ketika mula hendak memanjat itu, dia asyik berfikir tentang kata-kata nenek itu maka hatinya bertambah girang.

"Kalau aku eramkan telur-telur itu tentulah telur-telur itu menetas. Bolehlah aku biarkan ayam-ayam itu sekeliling gerubuk aku sehingga besar. Apabila sudah besar bolehlah aku makan." Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata, "Kalau telur-telur itu menetas bolehlah saya makan ayamkan, nenek?" Nenek tua itu kehairanan tetapi terus sahaja menjawab "Betul cu." Sambil Mat Jenin berangan-angan, dia terus memanjat pokok kelapa itu semakin tinggi.

"Tetapi kalau aku biarkan ayam-ayam itu bertelur tentulah semakin banyak ayam-ayamaku membiak. Jadi tentunya aku akan dapat banyak daging dan telur untuk aku makan.Tetapi kalau terlalu banyak tentu susah aku menjaganya. Jadi baik aku tukarkan ayam-ayam itu dengan kambing tentu lebih beruntung. Bolehlah aku biarkan kambing-kambing itu mencari makan di keliling gerubuk aku. Tak perlu aku bersusah payah memanjat pokok kelapa lagi. Dan lagi tidak perlulah aku risau-risaukan menjaga ayam-ayam itu banyak-banyak." fikirnya lagi.
 Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata "Kalau ayam-ayam itu saya jual bolehlah saya dapatkan kambing, kan nenek?" Nenek tua itu berasa geli hati mendengarkan kata-kata Mat Jenin itu tetapi dia terus menjawab "Betul tu cu." Mat Jenin memanjat semakin tinggi, sambil itu dia berangan-angan semakin tinggi,"Kalau aku sudah banyak kambing, aku akan tukarkan dengan lembu pula. Lagipun lembu itu lebih gemuk dan banyak dagingnya. Tentu aku bertambah kaya dan dihormati orang." Sekali lagi dia menoleh ke bawah melihat nenek itu, "Kalau saya tukarkankambing itu dengan lembu tentu lagi baik, kan nenek?" dia menjerit ke bawah.

Nenek itu terus menjawab "Betul tu cu.." sambil tersenyum-senyum, menampakkan gusinya yang tidak bergigi itu. Nasib baik Mat Jenin sudah jauh di atas pokok kelapa dan tidak nampak nenek itu mentertawakan dia. Mat Jenin semakin kuat berangan-angan, "Kalau aku sudah dapat membela lembu, tentu aku dapat mengupah orang untuk menjaga lembu-lembu itu sehingga beranak pinak. Jadi aku akan dapat lebih banyak lembu, aku akan jadi kaya. Tak perlulah aku susah payah berkerja lagi . Bolehlah aku membela kerbau pula nanti." Sekali lagi dia memekik ke bawah, "Nenek! kalau saya sudah banyak lembu bolehlah saya tukarkan dengan kerbau pula ye, nenek. Kayalah saya masa itu." Sekali lagi nenek itu menjawap, "Betul tu cu." "Kalau cu sudah kaya bolehlah cucu berkahwin." tambahnya lagi. Mat Jenin mengangguk-anggukkan kepalanya, "Kawin!" Dia terus memanjat semakin tinggi meninggalkan nenek itu sayup-sayup di bawah sana.
Ya!Ya! Kalau selama ini tidak ada perempuan yang ingin memandang mukanya kerana kemiskinannya, tentu akan berebut-rebutlah perempuan yang gilakannya setelah dia kaya nanti. Tetapi, masa itu dia tidak akan melayan perempuan- perempuan itu. Dia sudah pun kaya dan tentu dia dapat memilih siapa calon isterinya nanti. Ya! Ya! dia sudah tentu memilih isterinya dari perempuan-perempuan yang istimewa. Dia akan memilih puteri raja. "Nenek! Saya akan kahwin dengan puteri raja." jeritnya ke bawah.

Jawapan nenek itu hanya sayup-sayup, tidak didengarinya kerana dia sudah pun tinggi di atas pokok kelapa. "Tentu aku akan mempunyai ramai anak." fikirnya lagi sambil tersenyum- senyum. "Dan mereka akan berlari-lari membuat bising. Isteri aku tentu akan mengidamkan perhiasan emas dan meminta dari aku. tetapi aku tidak akan beri. Kalau dia membuat bising, tentu aku akan tampar dia seperti ini." Serentak dengan itu Mat Jenin melepaskan pelukannya dan menampar pelepah kelapa itu sambil menengking "Jangan nak mengada mintak barang kemas dari aku.", dan ketika itu bertempiaranlah seekor tupai yang sedang menyorok di celah pelepah kelapa itu, mengejutkan Mat Jenin dari angan-angannya itu. Mat Jenin terkejut besar sehinggakan terlepaslah pegangannya dari pokok kelapa itu.Maka jatuhlah dia dari pokok kelapa itu sampai ke bawah, berdebuk seperti buah kelapa tua yang luruh bunyinya.

Terkejutlah nenek tua itu melihatkan Mat Jenin terjatuh dan bersegeralah dia meluru untuk memberikan pertolongan Malangnya MatJenin telah mati di situ juga. Maka dengan itu tamatlah riwayat Mat Jenin yang terlampau suka berangan-angan sehinggakan menjadi mangsa angan-angannya itu sendiri. Demikianlah diceritakan orang kisah Mat Jenin yang malang.

Pengajaran yang didapati ialah:
1.Jangan berangan-angan
2.Buat kerja dengan bersunggug-sungguh
3.Jangan lalai ketika membuat sesuatu pekerjaan.

Tuesday, 15 November 2011

Aku Sebuah Basikal

Aku berasal dari ’Negara Matahari Terbit“. Aku dibuat di sebuah kilang besi waja yang tidak besar.
Badanku terdiri daripada besi waja, getah asli, kaca dan pleastik. Apabila badanku telah siap dibuat, aku disebut basikal. Aku dan kawan -kawanku yang lain dipamerkan di sebuah bilik pameran. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai orang memuji kecantikanku.

Tidak lama kemudian aku dan kawan-kawanku menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan dua orang kelasi kapal itu, aku mendapati ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memilikiku. Aku semakin bangga.

Nasib kami sungguh malang . Kapal kami karam. Aku dan kawan-kawanku lemas. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku ke kedai yang membeli besi buruk. Aku dijual di situ. Aku berasa sungguh kesal kerana aku telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia.

Saturday, 5 November 2011

Berita

PASUKAN PAKAIAN SERAGAM YANG KAMU SERTAI TELAH MENGADAKAN PERKHEMAHAN. TULIS SEBUAH BERITA TENTANG PERKHEMAHAN TERSEBUT.

AKTIVITI PERKHEMAHAN

HULU HANGAT , 15 Disember – Persatuan Bulan Sabit Merah ( PBSM )
Sekolah Rendah Sri Petaling telah mengadakan aktiviti perkhemahan di
Sungai Congkak. Semua ahli, iaitu seramai 124 orang menyertai
perkhemahan yang diadakan buat JULUNG kalinya.

Akiviti perkhemahan selama dua hari itu bertujuan memberikan
peluang kepada ahli – ahli untuk melatih dan MEMPRAKTIKKAN ilmu
rawatan kecemasan yang telah dipelajari.

Lima orang guru ditugaskan untuk MEMBIMBING dan membantu
para ahli. Pelbagai aktiviti seperti mempraktikkan rawatan kecemasan
bagi kecederaan di hutan, memasang khemah, dan mencari harta karun
diadakan.

Semangat bekerjasama dapat dilihat terutama semasa aktiviti
rawatan kecemasan dijalankan. Setelah tamat aktiviti aktiviti
perkhemahan, para peserta diberikan sijil penyertaan. OBJEKTIF
perkhemahan tercapai setelah kesemua ahli PBSM berjaya mempratikkan
ilmu dengan cemerlang.

PBSM sekolah tersebut akan mengadakan aktiviti perkhemahan
seumpama itu pada tahun hadapan.

GLOSARI.
1)Julung = pertamakali.
3.) membimbing = mengajar.
2)Mempratikkan = mengamalkan.
4.) objektif = matlamat

Friday, 4 November 2011

Mahsuri

Ilustrasi wajah Mahsuri
Kira-kira dua ratus tahun dahulu, dalam masa pemerintahan Al-Marhum Sultan Abdullah Mukaram Shah yang kedua yang memerintah Kedah antara tahun 1762 dengan 1800, ada seorang Melayu miskin tinggal di pulau Langkawi itu bersama-sama isterinya. Mereka berdua hanya mempunyai seorang anak perempuan. Nama orang itu Pandak Maya, nama isterinya Mek Andak Alang dan anaknya dipanggil Mek Yah.

Pada suatu hari sedang suaminya mencari seekor kerbau hilang, maka dengan tiba-tiba turun hujan yang sangat lebat serta guruh petirnya. Pandak Maya berteduh di dalam sabuah pondok tinggal. Semasa ia berada di dalam pondok itu ia telah mendengar tangisan seorang kanak-kanak kecil. Ia memandang ke seluruh tempat di dalam pondok itu hendak mencari di manakah kanak-kanak itu tetapi tidak ada tanda-tanda manusia di mana-mana pun. Satu benda luar biasa yang dilihatnya di dalam pondok itu hanyalah sekeping kerak nasi di atas lantai pondok tersebut. Diambilnya sedikit kerak nasi itu kerana hendak diperiksanya. Ia berasa takjub kerana dengan serta-merta tangisan kanak-kanak itu pun berhenti.
Telaga Mahsuri

Selepas memerhatikannya maka dilepaskannya kerak nasi itu dan kedengaran semula bunyi kanak-kanak menangis. Pandak Maya bertambah hairan apabila melihatkan kejadian itu. Apabila hujan sidang ia pun berjalan balik dengan membawa sedikit kerak nasi itu. Apabila sampai di rumah diberinya kerak nasi itu kepada isterinya serta diceritakannya apa yang telah berlaku. Isterinya menyatakan kepadanya bahawa mengikut kepercayaan orang tua-tua tangisan kanak-kanak seperti itu ialah tangisan "semangat" buah padi. Mek Andak pun menyimpan kerak nasi itu dan pada tiap-tiap kali ia memasak nasinya, sama ada untuk makan siang atau makan malam dimasukkannya kerak nasi itu ke dalam nasinya dan mereka bertiga beranak pun makanlah seperti biasa.

Beberapa bulan kemudian Mek Andak pun mengandung sekali lagi Selain daripada berladang padi untuk menambah pencarian keluarganya, Pandak Maya biasa pergi ke dalam hutan tidak jauh dari rumahnya kerana mencari damar, iaitu getah daripada pokok meranti. Pada suatu hari, ia merayau di dalam hutan itu berjalan dari sebatang pokok ke sebatang pokok memungut damar di suatu tempat bernama Belanga Pechah, maka ia telah sampai ke sebuah gua. Di gua itu dilihatnya satu benda seperti cendawan melekat pada tepi gua itu. Diambilnya sedikit untuk dimasak oleh isterinya kalau-kalau benda itu cendawan.

Di tengah jalan pulang ia berjumpa seorang China bernama Ah Pek. Maka ditunjukkannya kepada Ah Pek benda yang dibawanya itu, serta bertanyakan nama benda itu. Ah Pek sendiri tidak kenal benda itu lalu meminta sekeping supaya dapat ditunjukkannya kepada taukenya yang tinggal di Padang Mat Sirat. Tauke sendiri tidak tahu apakah benda lalu dibawanya ke Pulau Pinang supaya dapat dikenali.

Apabila ia balik dari Pulau Pinang beberapa hari selepas itu, Tauke itu pun bersama-sama dengan Ah Pek pergi ke rumah Pandak Maya dan memberitahu kepadanya bahawa benda yang disangka oleh Pandak Maya cendawan itu ialah sarang burung yang boleh dimakan. Tauke itu menyatakan sarang burung itu sukar didapati dan harganya sangat mahal.
Pandak Maya sudah tentu sangat gembira kerana ia boleh dapat dengan banyak di dalam gua itu. Maka ia pun pergi ke gua tersebut lalu mengumpul sarang burung itu, kemudian ia menyuruh jualkan kepada Tauke itu di Pulau Pinang. Kadang-kadang ia sendiri pergi menjualnya. Dengan wang jualan sarang burung itu ia membeli kain baharu serta barang-barang lain untuknya sendiri dan untuk keluarga. Dia juga membeli barang-barang untuk dijual kepada orang-orang di kampungnya.

Tiada berapa lama kemudian pecahlah khabar bahawa Pandak Maya telah menjumpai sarang burung dan dia telah menjadi kaya-raya. Pada suatu hari seorang kawan Pandak Maya bernama Mat Jusoh telah datang ke rumahnya dan bertanya kepadanya kalau-kalau boleh ia memberitahu di mana dia mendapat sarang burung itu. Sebagai seorang yang lurus dan pemurah dia telah menemani Mat Jusoh pergi menunjukkan tempat itu. Sebelum sampai betul-betul ke tempat tersebut maka dengan tiba-tiba datang angin ribut yang amat kencang serta guruh petirnya. Beberapa pohon besar telah bongkas. Dengan yang demikian Pandak Maya dan kawannya itu pun mengambil keputusan membatalkan perjalanan mereka itu lalu pulang.

Tiada lama selepas itu mereka pergi sekali lagi dan sekali lagi hujan lebat turun serta kilat sabung-menyabung. Oleh itu bukan sahaja mereka tak dapat mencari sarang burung bahkan juga tak dapat menemui gua itu. Maka tak ada ikhtiar lain, lalu mereka pun pulang dengan tangan kosong. Mat Jusoh dan kawan-kawannya menuduh Pandak Maya tidak jujur iaitu dengan cuba merahsiakan gua itu daripada mereka.


Dalam masa isteri Pandak Maya hamil maka kebunnya yang bertanam dengan pokok pisang, pokok buah-buahan dan pokok sayur-sayuran yang lain telah hidup dengan subur dan ayam itiknya menjadi biak. Jiran-jirannya selalu datang kepadanya membeli daun sirih dan sayur-sayuran. Namanya menjadi terkenal bukan sahaja di kampungnya dan di dalam Mukim tempat ia tinggal tetapi juga di seluruh Pulau Langkawi itu.
Pada suatu malam sedang ia berbual-bual dengan isterinya serta mengucap syukur kepada Tuhan atas rahmat dan kemakmuran yang telah diturunkan olehNya kepada mereka itu, mereka telah terdengar bunyi ular cinta mani dekat rumah mereka. Dengan tidak bertangguh-tangguh, Pandak Maya pun turun ke tanah serta nampaklah ia ular itu ada dua ekor. Ditangkapnya kedua-kedua ekor ular itu. Mengikut satu kepercayaan orang tua-tua bahawa barang siapa dapat melihat dan memakan ular cinta mani itu akan hidup senang-lenang. Oleh yang demikian ular itu pun dibunuh mereka lalu dimasak dan mereka bertiga beranak memakannya dengan tidak ada sisa barang sedikit pun.

Kira-kira sebulan selepas itu, pada suatu hari yang terang cuacanya dan pada saat yang baik isteri Pandak Maya berasa sakit hendak bersalin. Ia pun menyuruh panggil bidan. Bidan pun datang dengan gopoh-gapah dan apabila ia sampai ia menyuruh Pandak Maya mengambil sedikit air tetapi oleh kerana musim kemarau pada masa itu tak dapatlah ia air yang cukup dari tempat yang berhampiran dengannya. Kemudian bidan menyuruh Pandak Maya mengambil daun sirih tetapi ini pun tidak diperolehnya kerana junjung sirih itu tersangat tinggi. Tidak berapa lama kemudian seorang kanak-kanak telah selamat dilahirkan dan Pandak Maya dipanggil masuk oleh bidan untuk menamakan kanak-kanak itu. Oleh kerana kanak-kanak itu seorang perempuan ia telah diberi nama Mahsuri.


Dato' itu telah tertarik oleh budi bahasa dan kecantikan Mahsuri dan dengan serta-merta timbullah di dalam hatinya bahawa ia ingin hendak mengambil gadis itu untuk menjadi isterinya. Apabila dinyatakannya hasrat hatinya kepada isterinya maka terjadilah satu perkelahian yang begitu sengit sehingga terpaksa Dato' itu membatalkan cita-citanya hendak mengahwini Mahsuri. Dato' Seri Kerma Jaya ada seorang anak bernama Mat Deris dan setelah berbaik-baik semula dengan isterinya Dato' itu telah berpakat dengan isterinya hendak meminang Mahsuri untuk anaknya itu dan isterinya itu pun bersetuju. Pandak Maya serta isterinya telah menerima kedatangan orang-orang pihak Dato' itu mengikut adat istiadatnya dan mereka pun bersetujulah atas peminangan itu. Tiada berapa lama kemudian majlis perkahwinan pun diadakan dengan secara besar-besaran dan hampir-hampir semua penduduk Pulau Langkawi telah dijemput hadir ke majlis yang meriah itu.
Selepas perkahwinan itu sepasang suami isteri pun tinggal bersama-sama dalam aman sentosa dan rukun damai. Bulan berganti bulan, maka Mahsuri pun hamil. Suaminya Mat Deris telah pergi ke Siam kerana urusan perniagaan dan sebagai biasa lama dia tiada pulang. Dalam masa Mat Deris tidak ada maka datanglah seorang pengembara Melayu muda lagi miskin ke Langkawi. Namanya Deramang. Orang ini dilahirkan di Melaka. Ia mengembara di seluruh Semenanjung termasuklah Pulau Pinang dan Perlis. Dari Perlis ia menyeberang ke Langkawi kerana hendak tinggal beberapa hari.
Deramang mempunyai suara yang sangat merdu, dan sangat pandai berpantun serta membaca cerita dalam bentok prosa. Pada suatu hari dia datang ke rumah Mahsuri. Mahsuri kasihan melihatkan keadaan pengembara miskin ini lalu mempelawa dia tinggal di rumahnya beberapa hari dengan izin ibu bapanya. Deramang menerima pelawaan itu serta mengucapkan terima kasih kepadanya.
                              

Pada waktu malam Deramang telah berpantun dan bercerita. Orang-orang yang tinggal berdekatan di situ datang ke rumah Mahsuri mendengar pantun dan cerita Deramang. Beberapa bulan kemudian Mahsuri pun melahirkan anaknya yang pertama seorang laki-laki, dan telah diberi nama Mat Arus. Oleh sebab baik budi dan ramah mesra Deramang dan Mahsuri, lebih ramai orang datang ke rumah Mahsuri dan sedikit sahaja datang ke rumah Dato' Seri Kerma Jaya. Oleh kerana begitu terkenalnya Mahsuri maka namanya sentiasa di bibir mulut tiap-tiap orang.

Mahura isteri Dato' berasa cemburu dan iri hati kepada Mahsuri kerana namanya terkenal dan dengan mengingatkan cita-cita suaminya tempoh hari hendak memperisterikan dia dan telah menimbulkan perselisihan di antara dia, dengan suaminya itu maka ia mengambil keputusan hendak membuat fitnah. Pada suatu malam yang gelap dia meminta izin daripada suaminya Dato' hendak pergi ke rumah Mahsuri dengan alasan hendak mendengar Deramang berpantun dan bercerita. Dato' telah mengizinkan dia pergi. Ia pun pergi. Beberapa ketika kemudian dan sebelum sampai ke rumah Mahsuri, Mahura berlari balik ke rumahnya dengan termengah-mengah serta dengan tangisnya dan memberitahu suaminya bahawa ia telah melihat Mahsuri dan Deramang sedang bercumbu-cumbuan dan Deramang memakai sebentuk cincin yang diberi kepadanya oleh Mahsuri.

Benar Deramang ada memakai cincin. Cincin itu dihadiahkan kepadanya oleh Mahsuri dengan izin bapanya kerana menghargai jasa-jasa Deramang dalam menglipurkan hatinya dengan berpantun dan bercerita dalam masa suaminya meninggalkan rumah begitu lama.


Apabila mendengarkan cerita isterinya itu maka timbullah radang Dato' Seri Kerma Jaya dan pada keesokan paginya ia telah mengerah orang-orangnya menangkap Mahsuri dan dengan tidak menyiasat lebih lanjut serta perbicaraan, ia telah dijatuhkan hukuman bunuh. Orang-orang Dato' itu pun pergilah ke rumah Mahsuri di Mawat dan mereka dapati dia tidak ada di rumah. Dia telah pergi ke suatu tempat tiada jauh dari rumahnya mendodoikan anaknya di dalam buaian di bawah sepohon kayu. Orang-orang itu telah pergi ke tempat itu lalu berjumpa dengannya. la diberitahu bahawa mereka telah diperintahkan oleh Dato' menangkap dan membunuh akan dia kerana kelakuan sumbangnya dengan Deramang. la hendak dibawa ke suatu tempat bernama Padang Hangus dan di sanalah hukuman itu hendak dijalankan.

Mahsuri berasa hairan dan merayu bahawa dia tiada bersalah. Tetapi segala rayuannya itu sia-sia belaka. Bapanya Pandak Maya yang sedang berada di dalam rumahnya apabila mendengar khabar mala petaka yang menimpa anaknya itu telah membawa tujuh buah kereta lembu yang penuh berisi wang untuk menebus anaknya itu tetapi tiada berhasil.

Perkhabaran berkenaan dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Mahsuri itu telah merebak dengan pantas ke seluruh kampung di dalam Mukim itu dan ramai orang telah membantah perintah tersebut. Tetapi apa pun tidak dapat memujuk hati Dato' itu mengubah keputusannya. Beratus-ratus orang telah berhimpun di Padang Hangus hendak menyaksikan pembunuhan itu. Permintaan Mahsuri yang terakhir ialah hendak menentang wajah anaknya bagi kali yang terakhir tetapi Dato' tiada membenarkannya.
               Ilustrasi : Mahsuri diikat di poko
la telah diikat kepada sebatang pokok asam jawa. Dua bilah lembing tajam telah digunakan. Apabila ditikamkan ke tubuh Mahsuri yang lemah itu pada kedua-dua belah bahagian lembut bahunya mata lembing yang tajam itu tidak dapat menembusi kulit atau dagingnya. SeIepas segala percubaan yang gagal itu, Mahsuri memberitahu pembunuh-pembunuhnya bahawa jika sekiranya mereka betul-betul hendak menjalankan hukuman membunuh akan dia, dia ada sebilah lembing kepunyaannya sendiri di rumahnya dan senjata itulah sahaja yang boleh membunuh akan dia. Maka perintah pun dikeluarkan untuk pergi mengambil lembing Mahsuri. Apabila ditikamkan lembing itu ke tubuh badannya maka kelihatan darah putih memancut ke atas lalu terbentuk seperti payung di atas kepalanya.

Sebelum Mahsuri menghembuskan nafasnya yang akhir dia telah berkata dengan suara yang lembut dan jelas bahawa oleh kerana perbuatan zalim ini Pulau Langkawi tidak akan makmur dan tidak akan menikmati keamanan selama tujuh keturunan yang akan datang. Ramalan Mahsuri itu betul berlaku. Deramang pula apabila ia mendengar peristiwa yang dahsyat ini ia telah lari ke Perlis dan langsung tidak kedengaran ceritanya.

Beberapa tahun kemudian Langkawi telah diserang oleh Siam dan telah ditawan dan dibinasakan mereka. Dato' Seri Kerma Jaya dan kesemua ahli keluarganya telah dibunuh oleh tentera yang menyerang itu. Ramai daripada penduduk pulau itu telah ditawan dan dibawa ke Silim. Sebagai ikhtiar yang akhir sebelum tentera Dato' yang bertahan itu mengundurkan diri, mereka telah menggunakan taktik menjahanamkan harta benda iaitu dengan membakar padi beras rakyat dan bekalan-bekalan tentera.

Raja Bersiong

Pada zaman dahulu, Negeri Kedah berada di bawah pemerintahan Raja Siam. Kebanyakan Raja Kedah menggunakan nama dalam bahasa Siam. Malahan terdapat juga yang berketurunan Siam. Raja Ong Maha Perita Daria adalah salah seorang daripada mereka, tetapi baginda lebih dikenali sebagai Raja Bersiong.

Pada masa pemerintahannya, Raja Bersiong sangat zalim. Rakyat Kedah sentiasa dalam ketakutan. Tiada siapa berani membuat kekacauan, kerana apabila ditangkap mereka akan diseksa atau terus dibunuh oleh para pengawal atau panglima Raja Bersiong.

Kuasa jajahan Raja Bersiong bertambah daripada masa ke semasa. Sebahagian besar Lembah Bujang yang terletak di tengah negeri Kedah berada di bawah pemerintahan baginda, tetapi baginda tidak berasa puas hati. Baginda mahu meluaskan lagi taklukannya. Ini telah dihalang oleh panglima-panglima yang gagah berani. Raja Bersiong yang semakin tua itu sudah tidak berdaya untuk melawan panglima-panglima tersebut. Baginda kembali dan berehat di istana. 

Baginda sangat suka makan masakan kari. Paling digemari apabila kari itu pedas dan dibubuh banyak rempah. Masakan kari yang menjadi kegemaran baginda ialah masakan kari sayur bayam.
Setiap kali baginda santap, dua orang panglima berkawal di belakang baginda, kerana Raja Bersiong sangat takut kalau ada orang yang mahu membunuh baginda.

Sepatutnya baginda tidak harus berasa apa-apa kerana istana baginda dikawal oleh pengawal-pengawal yang sangat setia kepada baginda.Raja juga selalu bimbang sekiranya ada orang mahu meracuni baginda. Sesungguhnya ini amat mustahil kerana baginda mempunyai dua orang tukang masak yang sangat jujur. Seorang ditugaskan untuk membasuh sayur-sayur bayam sementara seorang lagi yang sangat pandai memasak kari disuruh memasak kari bayam ini untuk santapannya. Kedua-dua tukang masak ini bersahabat baik.

Setiap pagi semasa raja masih tidur, kedua-dua orang tukang masak itu mesti menyiapkan masakan kari bayam. Sekiranya masakan tersebut belum tersedia sewaktu raja bangun daripada peraduannya, baginda akan memarahi dan menghukum kedua-dua orang tukang masak itu.

Baginda sangat suka berburu, terutama memburu rusa. Dalam kawasan Lembah Bujang, terdapat bermacam-macam jenis kancil dan rusa liar. Binatang-binatang itu sangat pantas berlari, kerana itu Raja Bersiong mempunyai dua ekor anjing yang terlatih untuk membantu baginda dalam pemburuan. Oleh itu, setiap kali berburu, baginda akan berjaya membunuh beberapa ekor rusa yang besar. Apabila kembali ke istana, baginda akan memerintahkan tukang masak mencampurkan daging rusa tersebut ke dalam masakan kari kegemaran baginda untuk menambahkan lagi kelazatannya.

Waktu ini kumpulan baginda berada di tengah hutan. Kerana bimbangkan keselamatan raja, para pengawal menyuruh baginda berteduh di dalam sebuah gua yang berhampiran. Pada mulanya baginda menolak, dan baginda mahu meneruskan pemburuan. Tetapi setelah dilihat hari semakin gelap dan hujan semakin lebat, baginda pun bersetuju dengan cadangan tersebut.

Hujan yang lebat itu berlarutan selama empat jam. Baginda sangat marah dan mula terasa lapar. Tetapi apabila teringatkan tangkapan yang telah dibuat, baginda berasa gembira kerana telah berjaya menangkap enam ekor rusa yang besar-besar.

Setelah hujan berhenti, Raja Bersiong memerintahkan orang-orangnya supaya bersiap untuk pulang. Tidak ada gunanya meneruskan pemburuan kerana semua binatang telah lari jauh ke tengah hutan.
Atas perintah raja, semua hasil buruan dimuatkan ke atas dua buah kereta tolak. Setelah siap, mereka pun berangkat menuju ke istana. Sementara itu di istana, kedua-dua orang tukang masak raja berasa bimbang kerana raja mereka belum pulang. Mereka sedang sibuk menyiapkan masakan kari untuk raja dan pengawal yang turut serta berburu.

Tukang masak yang bertugas memasak kari raja adalah seorang yang suka berkhayal. Sewaktu memasak kari raja, beliau memikirkan keselamatan baginda. Tiba-tiba pisau yang digunakan terhiris jarinya sendiri. Masa itu juga darah keluar dan beberapa titik darah telah termasuk ke dalam periuk yang berisi kari raja.
"Apa mesti aku buat?" ia berkata sendirian. "Sekiranya baginda tahu tentang perkara ini, tentu aku akan dihukum nanti. Aku mesti sediakan masakan yang lain sebelum baginda sampai".

Untuk memasak kari yang istimewa itu memakan masa sekurang-kurangnya satu jam. Dalam keadaan kelam-kabut itu, tukang masak terdengar bunyi trumpet, menandakan raja dan rombongannya telah sampai. Tentunya tukang masak tidak sempat menyediakan kari yang lain. Beliau berharap semoga raja tidak akan merasakan sebarang perbedaan dalam masakannya kali ini.

Raja Bersiong yang sedang kelaparan itu memandang kepada masakan kegemarannya. Baunya yang wangi makin menambahkan lagi selera baginda. Tanpa membuang masa, baginda mengambil sepinggan nasi dan terus memakannya dengan masakan kari yang terhidang.

Setelah hampir separuh kari tersebut dimakannya, baru baginda menyedari akan perubahan rasanya. Baginda tidak pernah merasakan kari yang seperti ini sebelumnya. Segera baginda perintahkan pengawal memanggil tukang masaknya untuk mengetahui apakah yang telah dimasukkan ke dalam kari baginda kali ini.

"Apakah yang telah kamu masukkan ke dalam kari beta hari ini?" soal raja kepada tukang masak.
Tukang masak yang menyediakan masakan itu terus sahaja mengaku kesalahannya. Ia tahu tidak ada gunanya ia berbohong kepada raja. Sebaliknya dengan berterus-terang ia berharap raja dapat memaafkan kesalahannya.

"Ampun tuanku, semasa patik menyediakan kari tuanku, dengan tidak sengaja jari patik telah terluka dan beberapa titik darah telah termasuk ke dalam kari tuanku. Ampunkan patik tuanku, patik tidak sempat menyediakan masakan kari yang lain. Tolong ampunkan patik tuanku".

 "Oh begitu," sahut raja. "Jadi campuran darahlah yang menyebabkan kari beta terasa berlainan daripada biasa. Kari ini sungguh sedap. Beta mahu kamu campurkan lebih banyak darah di setiap masakan beta pada masa akan datang".

Mendengar arahan tersebut, tukang masak menjadi takut. Beliau tahu apakah yang dimaksudkan oleh raja itu. Raja Bersiong adalah seorang raja yang zalim. Baginda menyimpan banyak musuh di dalam penjara. Setengah-setengah daripada mereka sedang menanti masa untuk dihukum bunuh. Raja berpaling kepada pengawal dan bersuara dengan kuat. "Pergi ke penjara dan lihat siapa akan dibunuh hari ini. Bawa sebuah bekas bersama kamu. Setelah memenggal lehernya, kamu masukkan semua darahnya ke dalam bekas dan bawa kepada beta".

Pengawal itu pun segera pergi ke penjara. Pada masa itu terdapat seorang musuh raja yang telah tua. Ia sepatutnya menjalani hukuman bunuh hari itu. Ia dibunuh di situ juga oleh pengawal yang menjalankan perintah Raja Bersiong itu. Darahnya dimasukkan ke dalam bekas dan dibawa kepada raja.

Raja Bersiong tersenyum melihat bekas yang berisi darah itu. Orang ramai yang berada dalam istana berasa takut, tetapi mereka tidak berani berkata apa-apa. Mereka tahu raja yang laparkan darah manusia itu akan membunuh sesiapa sahaja untuk mendapatkan darah.

Bermula dari hari itu, Raja Bersiong tidak dapat hidup tanpa merasa darah manusia. Orang-orang tahanan semakin banyak yang dibunuh, walaupun mereka tidak bersalah. Kerana ini, baginda sangat dibenci oleh orang-orang dalam istana.

Setelah didapati orang tahanan dalam penjara tinggal beberapa orang sahaja lagi, Raja Bersiong tahu ia mesti mencari jalan untuk mendapatkan bekalan darah yang berterusan. Baginda segera perintahkan pengawal-pengawal supaya menculik budak-budak yang tidak bersalah. Walaupun penculikan itu dilakukan oleh pengawal-pengawal raja, tetapi orang ramai menyedari siapakah yang bertanggungjawab atas semua kejadian itu. Budak-budak yang tidak bernasib baik terus dibunuh dan darah mereka diberikan kepada tukang masak untuk dicampurkan ke dalam kari raja.

Penduduk kampung tersangat marah akan Raja Bersiong. Perbuatan baginda membunuh orang-orang yang tidak bersalah hanya untuk mendapatkan darah mereka dianggap sungguh zalim. Perbuatan Raja Bersiong memakan darah manusia ini menyebabkan dua batang taring atau siong tertumbuh di sebelah mulutnya. Perkara ini tidak disedarinya sehingga pada satu pagi, setelah sedar daripada peraduannya, baginda terasa sakit di mulut. Baginda meminta seorang menteri yang telah tua supaya melihat apakah punca kesakitan itu.

Setelah memerhatikan dengan teliti, menteri itu sungguh terperanjat dengan apa yang dilihatnya. Ia segera memberitahu raja. "Ampun tuanku, kesakitan yang tuanku alami itu bukanlah berpunca daripada gigi. Tetapi terdapat dua batang siong telah tumbuh di sebelah mulut tuanku, dan siong inilah yang menyebabkan tuanku berasa sakit".

Apabila mendengar perkara tersebut, Raja Bersiong pun ketawa dengan kuatnya. Suara baginda itu telah menakutkan orang-orang dalam istana. Mereka tahu tentu ada sesuatu perkara yang berlaku. Berita raja mempunyai siong itu tersebar di seluruh negeri. Baginda sungguh bangga dengan siong-siong tersebut. Baginda mahu seluruh rakyat tahu bahawa siong baginda bertambah panjang apabila baginda memakan darah manusia. Perkara ini sangat menakutkan rakyat Kedah.

Raja Bersiong berharap dengan adanya siong itu, rakyat bertambah hormat dan musuh akan takut kepada baginda. Pembunuhan ke atas budak-budak dan rakyat yang tidak bersalah terus dilakukan. Baginda mahukan darah untuk memuaskan seleranya yang semakin bertambah.Tukang masak baginda berasa sungguh sedih di atas kekejaman yang dilakukan oleh pengawal-pengawal raja. Ia mesti melakukan sesuatu untuk mengelakkan perkara ini daripada berterusan. Ia bercadang untuk membunuh Raja Bersiong dan menamatkan kekejaman baginda. Setelah merancang beberapa hari, akhirnya pada suatu hari semasa raja keluar berburu, tukang masak mengambil peluang ini untuk meracuni raja.

Rancangan ini tidak diberitahu kepada sesiapa kerana takut rahsia ini akan diketahui raja. Tukang masak mengambil masa lebih daripada satu jam untuk memasak kari raja pada hari itu. Semasa tidak ada orang yang melihat, dia pun mengeluarkan satu benda yang berbentuk seperti tanduk yang mengandungi racun di dalamnya. Ia segera menaburkan racun tersebut ke dalam kari raja.

Hari ini Raja Bersiong berasa sedih kerana kumpulannya tidak dapat membunuh banyak rusa. Baginda segera perintahkan supaya pulang ke istana. Dalam perjalanan, tidak ada siapa berani bersuara. Suara nyanyian dan pukulan gendang juga tidak kedengaran.  Setelah sampai di istana, Raja Bersiong segera perintahkan supaya disediakan makan malamnya. Tetapi kali ini dua ekor anjing buruan baginda turut bersama semasa baginda berada di meja makan. Baginda perlukan teman setelah gagal dalam pemburuan. Tukang masak pun membawa kari kegemaran baginda ke meja. Ia terlalu takut sehingga tangannya menggigil, tetapi mujurlah raja tidak melihat.

Sebelum sempat Raja Bersiong memakan kari yang beracun itu, seekor daripada anjingnya yang kelaparan telah melompat ke atas meja makan dan terlanggar mangkuk yang berisi kari itu. Kari itu pun tumpah ke lantai. Raja yang sedang lapar, terkejut dengan peristiwa itu. Dengan marah baginda perintahkan pengawal supaya menghalau anjing-anjing itu keluar. Tetapi belum sempat pengawal menghalaunya, anjing-anjing itu telah memakan kari yang tumpah di lantai.

Dalam beberapa saat sahaja racun yang berbisa itu meresap masuk ke dalam badan anjing-anjing itu. Kedua-duanya menggelepar kesakitan. Setelah memeriksa kedua-dua ekor anjing itu, pengawal pun memberitahu raja bahawa anjing tersebut telah mati. Nyatalah kepada baginda bahawa kari itu mengandungi racun. Baginda berasa lega kerana anjing-anjing itu telah menyelamatkan nyawa baginda.

Maka tahulah raja bahawa tukang masaknya mencuba meracuni baginda. Kerana ialah sahaja yang memasak dan menyediakan kari baginda selama ini. Segera diperintahkan supaya kedua-dua tukang masak ditangkap dan disiksa. Setelah puas mendapat seksaan, maka tukang masak yang bertanggungjawab memasukkan racun ke dalam kari raja pun mengaku kesalahannya. Ia tidak sanggup melihat kawannya yang tidak bersalah disiksa juga. Raja amat murka dengan pengakuan tersebut. Baginda segera memerintahkan supaya dipenggal leher tukang masak itu. Perintah tersebut segera dijalankan. Baginda kemudian mengarahkan tukang masak yang seorang lagi supaya mengambil alih tugas tukang masak yang telah dibunuh itu.

Dari hari itu, raja mempunyai seorang tukang masak sahaja. Baginda memerintahkan dua orang pengawal menjaga setiap gerak-geri tukang masak tersebut untuk memastikan ia tidak akan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan raja. Tentunya pengawasan ini tidak perlu, kerana tukang masak itu terlalu takut, dan ia tidak akan mencuba sesuatu yang boleh membahayakan nyawanya sendiri. Raja Bersiong tetap dengan kekejamannya. Beberapa orang nelayan yang berani, berpakat untuk menamatkan perbuatan itu. Salah seorang daripada mereka memberitahu kawan-kawannya bahawa masa untuk mereka memberontak telah tiba. Walaupun tidak mempunyai senjata yang lengkap tetapi mereka berazam untuk menamatkan pemerintahan Raja Bersiong yang zalim itu.

etapi malangnya, rancangan kaum nelayan itu telah diketahui oleh Raja Bersiong. Baginda mendapat berita tersebut daripada salah seorang nelayan yang telah belot terhadap kawan-kawannya. Raja Bersiong segera memerintahkan askar-askar simpanannya yang bersenjatakan senapang supaya bersembunyi di dalam hutan berhampiran dengan istana. Apabila askar-askar melihat kumpulan nelayan sedang mara menuju ke istana, mereka segera menyerang dan menembak beberapa orang daripada mereka. Kaum nelayan yang terkejut dengan serangan itu terus melarikan diri.

Kaum nelayan menuju ke kampung mereka untuk menyelamatkan diri dengan harapan askar-askar Raja Bersiong tidak akan mengejar mereka. Tetapi sesampai sahaja mereka di kampung, dilihat banyak askar yang lengkap bersenjata menanti. Ini kerana nelayan yang belot tadi telah memberitahu Raja Bersiong tentang tempat kediaman nelayan-nelayan tersebut.  Salah seorang daripada nelayan yang dilantik menjadi ketua dalam kumpulan nelayan itu telah menyeru kawan-kawannya supaya melawan askar-askar tersebut sehingga ke akhir hayat mereka. Tidak ada gunanya mereka menyerah kerana mereka akan dibunuh juga.
Maka berlakulah peperangan. Askar-askar Raja Bersiong telah berjaya membunuh semua nelayan yang memberontak itu. Tetapi kematian mereka bukan kerana menyerah tetapi kerana melawan.

Semasa peristiwa ini berlaku, salah seorang daripada menteri Raja Bersiong tidak ada dalam negeri. Setelah beliau kembali ke Kedah, keluarganya telah menceritakan apa yang telah berlaku dan tentang kematian adiknya yang termasuk dalam kumpulan nelayan itu. Setelah mendengar berita itu, menteri berasa marah dan sedih. Selama ini, beliau amat patuh kepada raja, dan kini adiknya sendiri telah dibunuh. Beliau adalah seorang yang cintakan keamanan dan tidak sanggup melihat kekejaman yang berterusan berlaku ke atas rakyat Kedah. Beliau berfikir sudah tibalah masanya untuk menamatkan kezaliman Raja Bersiong itu. Beliau mesti mengambil sesuatu tindakan.

Menteri tersebut adalah seorang yang terkenal di kalangan orang-orang istana. Beliau tidak mahu menimbulkan sebarang kekacauan dalam istana. Beliau menantikan hari apabila raja keluar berburu dengan pengawal-pengawal baginda. Tidak beberapa lama kemudian keluarlah raja berburu ke dalam hutan. Masa inilah yang dinantikan oleh menteri itu. Beliau segera melancarkan pemberontakan. Beliau berjaya mendapat sokongan daripada menteri-menteri dan askar-askar Raja Bersiong. Beliau segera menyusun satu angkatan yang besar mengandungi beribu-ribu orang askar. Mereka berbaris menuju ke tempat Raja Bersiong sedang berburu.

Raja sungguh terkejut melihat askar-askar yang begitu banyak menuju ke arah baginda. Tahulah baginda bahawa menteri dan askar-askarnya telah belot. Baginda segera perintahkan pengawal-pengawal yang berjumlah seratus orang bersama baginda itu supaya melawan angkatan menteri itu. Tetapi tidak seorang pengawal pun yang menurut perintah baginda, malahan kesemuanya telah masuk ke dalam kumpulan menteri tadi. Tinggallah baginda seorang diri. Raja Bersiong mula berasa takut. Baginda terus melarikan diri ke dalam hutan yang tebal itu. Menteri memberitahu orang-orangnya supaya jangan menangkap Raja Bersiong. Beliau tahu, raja Bersiong tidak akan berani lagi keluar daripada hutan itu.

Tahulah angkatan menteri itu bahawa mereka sekarang telah selamat daripada kekejaman Raja Bersiong. Semua rakyat Kedah sungguh gembira dengan kejayaan menteri dan askar-askarnya. Beberapa tahun kemudian mangkatlah Raja Bersiong di dalam hutan yang tebal itu kerana terlalu tua.Di bawah pemerintahan menteri yang adil itu, kawasan Lembah Bujang menjadi maju dan aman selalu. Rakyat tidak lagi berasa takut. Raja Bersiong yang zalim tidak mengganggu mereka lagi.

Pak Kadok

Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama Indera Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adap istiadat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi ada pun tabiat baginda itu terlalulah suka menyombong dan berjudi, sehingga menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian, habislah sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Sallallahu alaihi wasalam kerana raja-raja dan orang besar-besarnya terlalu amat suka mengerjakan pekerjaan maksiat itu.

Maka adalah pula seorang tua sedang pertengahan umur namanya Pak Kadok, tinggal ditepi sungai ujung negeri itu juga. Ada pun akan Pak Kadok ini terlalu dungu serta dengan tololnya. Maka adalah kepada suatu hari Pak Kadok berkata kepada isterinya, aku ini mak Siti ingin pula rasanya hendak pergi menyambung kegelanggang baginda itu kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyambung beramai-ramai di situ.

Mari kita sambung ayam biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya terlalu bertuah. Boleh kita taruhkan kampung kita kepada baginda. Kalau menang kita tentulah kita mendapat duit baginda itu.
Maka ujar isteri Pak Kadok, jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyambung, bawa ayam kita itu.
Maka sahut Pak Kadok, jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya.

Maka kata isterinya, bagaimana awak hendak membuatkan baju dan seluar ini. Jikalau dipakai kelak tentulah carik bertelanjang tengah gelanggang sambungan itu. Bukankah awak malu besar? Ujar Pak Kadok, tiada mengapa. Buatkan juga lekas-lekas aku hendak pergi. Setelah itu isteri Pak Kadok pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi. Maka kata Pak Kadok, usahlah di jahit, pelekat sahajalah supaya cepat. Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya dilekatlah olehnya. Apabila sudah, lalu diberikan kepada Pak Kadok, maka ia pun segeralah memakai pakaiannya sedondon iaitu berbunga tanjung, merah, kuning, hitam dan putih, terlalu hebat rupanya, tambahan pula berkena tengkolok helang menyongsong angin. Apatah lagi tampaknya Pak Kadok seperti juara yang maha faham pada sambung menyambung. Setelah sudah bersedia sekaliannya, Pak Kadok pun lalu turun menangkap ayamnya biring Si Kunani itu, serta dengan tabung tajinya, lalu berjalan menuju kegelanggang baginda itu. Selang tiada berapa lamanya, ia pun sampailah ketengah medan menyambung itu.
Sehingga setelah dilihat oleh baginda akan Pak Kadok datang itu, maka dikenallah oleh baginda seraya bertitah, Hai Pak Kadok, apa khabar? Menyambungkah kita?

Maka sembah Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayamnya itu lalu disambutkan oleh baginda serta diamat-amati.Diketahuilah oleh baginda tersangat bertuah ayam Pak Kadok itu. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya. Setelah didengar oleh Pak Kadok akan titah baginda menggula dirinya itu, percayalah ia. Maka sembahnya Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jikalau sudah dengan titah duli yang maha mulia, relalah patik, seperti titah itu sedia terjunjung di atas jemala ubun-ubun patik.

Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan ayam masing-masing. Maka sangatlah sukacita baginda beroleh ayam Pak Padok itu. Maka baginda pun bertitah kepada juara-juaranya menyuruh bulang ayam itu. Maka Tok Juara tua pun lalulah membulang balung ayam biring Si Kunani yang bertukar dengan pak Kadok itu mengenakan taji bentok alang serta dengan berbagai-bagai isyarat dan petuanya. Maka Pak Kadok pun segeralah membulang ayamnya bertukar dengan baginda itu, iaitu tuntung tajinya dihalakan kehadapan dan putingnya kebelakang.

Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini? Soronglah dahulu supaya beta lihat. Maka sembah Pak Kadok, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patek ini tiada harta apa harta yang ada, hanya kampong sebuah itu sahaja. Jikalau ada ampun dan kurnia kebawah dulu Tuanku, kampong itulah patik gadaikan kebawah duli Tuanku menjadi tanggungan memohonkan berhutang kadar lima puluh rial.
Maka titah baginda, baiklah. Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kadok itu kepada dengan memegang gadaian kampung itu. Telah sudah, baginda pun menyorongkan taruhnya lima puluh rial juga, jumlahnya seratus rial. Maka serta sudah, baginda pun mengajak Pak Kadok melepaskan ayam masing-masing. Sembah Pak Kadok, silakanlah Tuanku.

Maka baginda pun lalulah menguja-uja ayam keduanya itu. Maka naiklah bengis keduanya, serta meremang bulu suak ditengkuknya, lalulah bersama-sama melepaskan ayam masing-masing. Maka ayam biring Si Kunani pun datanglah menggelepur ayam jalak. Dan Si Jalak pun segeralah membalas pula, tetapi kasihan,sungguh pun Si Jalak membalas, percuma saja kerana tajinya dibulang oleh Pak Kadok, juara tuntungnya kehadapan dan putingnya kebelakang. Jadinya bila Si Jalak membalas itu tertikamlah pada dadanya sendiri lalu tersungkur menggelupur ditengah gelanggang itu, kerana dua liang sudah lukanya sekali terkena tikam oleh taji Si Biring dan sekali ditikam oleh tajinya sendiri.

Setelah Pak Kadok melihatkan ayam jalak sudah mati dan Si Biring itu menang maka ia pun lupalah akan hal ia telah bertukar dengan baginda tadi. Wah apatah lagi ia pun tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta melompat-lompat lalu menyerukan tuah ayamya itu. Maka oleh tersangat bertepuk dan melompat itu, habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu, bercabiran berterbangan oleh angin berkeping-keping kesana kemari bercampang-camping. Maka Pak Kadok pun tinggallah berdiri ditengah khalayak yang banyak itu dengan bertelanjang bogel sahaja.

Hatta demi dilihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tentera hina dina sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan dengan tempek soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga baginda pun tertawa bersama-sama. Maka ada pun akan Pak Kadok, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia pun tercengang pula kerana pada sangkanya mereka itu menumpang kesukaan dirinya itu. Kemudian apabila ia menoleh kepada tubuhnya, barulah diketahuinya akan dirinya bertelanjang bulat itu. Aduhai! Malunya yang amat sangat lalu ia berkerja lari dengan bersungguh-sungguh hati, lansung pulang ke rumahnya. Maka baginda pun berseru dengan nyaring suaranya. Inilah malang Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai. Maka baginda dengan sekalian yang ada di dalam medan sabung itu pun kembalilah masing-masing kerumahnya.

Ada pun akan Pak Kadok lari itu tiadalah ia memandang lagi kekiri kekanan. Serta ia sampai kerumahnya seraya terpandang oleh Mak Siti, maka terpanjatlah orang tua itu seraya berkata, Apa kena awak, Pak Kadok seperti orang gila ini? Maka oleh Pak Kadok di kabarkannya ialah daripada awal hingga keakhirnya. Serta didengar sahaja oleh isterinya akan hal suaminya itu, ia pun menagislah kerana mengenangkan untungnya yang malang itu dengan berbagai-bagai sungut leternya akan Pak Kadok oleh kebodohannya itu. Maka Pak Kadok pun diamlah terkosel-kosel, tiada berani menjawab akan isterinya lalu ia pergi membuat kerjanya sehari-hari itu juga.

Sekali peristiwa Pak Kadok dijemput oleh orang makan kenduri. Mula-mula datang orang yang dihilir sungai tempatnya tinggal itu mempersilakan Pak Kadok kerumahnya pada esok hari, waktu zohor iaitu makanannya seekor kerbau. Maka katanya Baiklah. Setelah mereka itu sudah kembali, ada seketika datang pula orang dari hulu sungai itu menjemput Pak Kadok kerumahnya pada esok hari juga tatkala tengah hari muda, iaitu jamuannya memotong lembu dua ekor pula. Itu pun disanggupnya juga. Telah hari malam, Pak Kadok pun tidurlah kedua laki isteri. Ada pun adapt pak Kadok telah lazim padanya setiap pagi memakan nasi dingin yang telah direndam oleh isterinya pada malam itu. Apabila sudah makan nasi yang tersebut itu, barulah ia pergi barang kemana-mana membuat kerjanya.

Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi pak Kadok pun bangunlah bersiap memakai, lalu turun memikul pengayuh berjalan menuju kepangkalan. Serta dilihat oleh isterinya ia pun menyeru akan suaminya katanya, Hai Pak Siti, tidakkah hendak makan nasi rendam ini lagi? Sementangkan nak makan lembu dan kerbau nasi ini ditinggalkan sahaja. Maka sahut Pak Kadok, Tak usahlah, curahkan ketanah biar dimakan oleh ayam kita.
Maka oleh isterinya dengan sebenar nasi itu dibuangnya ketanah, dan Pak Kadok pun turun keperahu lalu berkayuh. Ada pun pada masa itu air sungai sedang surut terlalu amat derasnya. Maka Pak Kadok berfikir di dalam hatinya, kemana baik aku pergi. Jika ke hilir tiada penat dan teruk aku berkayuh, hanya menurutkan ayir dihilir sahaja, tetapi kerbau seekor kemanakah padanya. Kalau begitu baiklah aku mudek juga. Ia pun lalu berkayuh mudek menongkah air surut itu dengan terbengkil. Apabila penat dia berhenti sambil berfikir pula, dan perahunya hanyut balik kehilir setanjung dua tanjung jauhnya berkayuh pula. Demikianlah hal Pak Kadok, kayuh-kayuh berhenti dengan berfikir juga.

Beberapa lamanya air pun tenang surut. Hampir akan pasang baharulah Pak Kadok sampai kerumah jemputan itu, tetapi apalah gunanya. Sia-sia sahajalah penat jerehnya itu kerana matahari pun telah zuhur, jamuan itu pulang ke kampung masing-masing. Maka apabila terlihat oleh tuan rumah akan Pak Kadok datang itu, ia pun berkata, Amboi kasihannya di hati saya oleh melihatkan penat sahaja Pak Kadok datang, suatu pun tidak ada lagi, yang ada semuanya telah habis. Malang sungguhlah Pak Kadok ini. Telah didengar oleh Pak Kadok, maka ujarnya, sudahlah apa boleh buat. Sahajakan nasib saya.

Maka ia pun berkayuhlah hilir pula, hasratnya hendak mendapatkan rumah yang memotongkan kerbau itu pula, tetapi air sudah pasang deras. Maka Pak Kadok pun berkayuhlah bersungguh-sungguh hatinya menongkah air pasang itu, terbengkil-bengkil di tengah panas terik dengan lapar dahaganya. Tetapi kerana bebalnya itu tiadalah ia mahu singgah kerumahnya langsung sahaja ia kehilir, hendak segera menerpa kerbau yang lagi tinggal itu. Sehingga air pasang hampir akan surut, barulah Pak Kadok sampai kesana pada waktu asar rendah dan sekalian orang jemputan pun sedang hendak turun berkayuh pulang kerana sudah selesai jamuan itu. Maka apabila dilihat oleh Pak Kadok akan hal itu ia pun tiadalah hendak singgah lagi kerumah orang kenduri itu, lalu ia memaling haluan perahunya, langsung berkayuh mudek dengan rungutnya seperti baung dipukul bunyinya, kerana terlalu amat penatnya terpaja-paja ke hulu kehilir di tengah panas terik itu, perut pun sudah kebuluran dan mata Pak Kadok naik berbinar-binar, tambahan pula mudek itu pun menongkah juga.

Maka pada waktu senja baharulah ia sampai kepangkalannya seraya menambat perahu dan naik ke rumah.
Shahadan, apabila dilihat oleh isterinya akan muka suaminya masam dan diam tiada berkata-kata, maka ia pun menyeru akan Pak Kadok, katanya apakah agak sebabnya orang pergi memakan lembu dan kerbau ini masam sahaja? Apa lagi yang kekurangan? Perut sudah kenyang makan daging. Maka berbagai-bagai bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun naiklah metanya, serta mengambil kayu api dan berkata, kenyang memakan kepala bapa engkau. Lalu ia memalu kepala isterinya. Dengan takdir Allah, sungguh pun sekali pukul sahaja, isteri Pak Kadok pun rebah lalu mati. Setelah dilihat oleh Pak Kadok isterinya sudah mati, ia pun merebahkan dirinya disisi isterinya itu lalu menangis mengolek-golekkan dirinya seraya berkata, aduhai malang nasibku ini, sudahlah penat berkayuh kehulu kehilir, mana kebuluran, sampai kerumah isteriku pula mati oleh perbuatanku juga.

Maka berbagai-bagailah bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun menjemput segala pegawai akan menanamkan isterinya itu. Setelah selesai daripada pekerjaan itu, maka Pak Kadok pun berniat hendak pindah dari rumahnya, bertandang duduk barang kemana-mana rumah yang lain, asalkan boleh ia meninggalkan kampung halamannya itu sudahlah, kerana fikirannya dari sebab ia tinggal di rumah dan kampungnya itulah, maka ia beroleh kemalangan yang begitu sialnya. Setelah tetaplah fikirannya yang demikian, maka Pak Kadok pun mengemaskan sekalian harta bendanya lalu diangkatnya turun keperahu. Serta bersedia ia pun melangkah dengan tauhid hatinya meninggalkan kampung halaman dengan rumah tangganya, akan berpindah ke kuala sungai itu menumpang duduk di rumah seorang handainya disana.

Arakian, Pak Kadok pun membabarkan layarnya seraya menujukan haluan perahunya ke kuala. Tetapi kasihan. Percumalah penat jereh Pak Kadok membentang layar dan mengemudikan perahunya itu, dari kerana sungguh pun pada masa ia menarik layar tadi angin paksa sedang kencang bagus, tetapi serta layarnya sudah sedia, angin pun mati seperti direnti-rentikan oleh yang hasad akan Pak Kadok lakunya. Maka perahu Pak Kadok pun hanyutlah terkatong-katong kehulu kehilir, ketengah dan ketepi menantikan angin. Beberapa lamanya dengan hal yang demikian, hari pun hampirlah akan petang, tubuh Pak Kadok terlalu amat letih dan lesunya. Lama kelamaan datang bebal hatinya serta merampas lalu ia menurunkan layer dan melabuh sauhnya seraya membentangkan kajang berbaring-baring melepaskan jerehnya.

Maka dengan kudrat Allah yang maha kaya menunjukkan kemalangan nasib Pak Kadok, angin paksa pun turunlah berpuput dengan ugahari kencangnya seolah-olah khianatkan Pak Kadok lakunya. Tetapi sia-sialah sahaja puputan bayu yang sedemikian itu moleknya hingga menjadi paksa yang maha baik dengan sebab kemalasan menjadi kemalangan bagi diri Pak Kadok, hingga ditaharkan perahunya ulang-aling di palu oleh ombak dengan gelombang ditengah sungai itu, seraya berkata Cheh! Angin bedebah ini sahajakan ia hendak menunjukkan makarnya kepada aku. Sedanglah sudah sehari suntuk aku hanyut, tak mahu turun, agaknya oleh tegar hatiku. Biarlah tak usah aku belayar, asalkan puas rasa hati ku. Jangan aku menurutkan kehendak engkau.

Kemudian ia pun tidurlah dengan terlalu amat lenanya kerana lelah dan kelaparan. Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi Pak Kadok pun bangunlah membongkar sauhnya seraya berkayuh perlahan-lahan seharian itu, hingga petang barulah ia sampai kerumah sahabatnya itu, seraya mengangkat sekalian barang-barangnya naik kesitu. Maka tinggallah Pak Kadok menumpang di rumah handainya itu selama-lamanya dengan tiada sekali-kali ingatannya hendak kembali kekampung halamannya dari sebab bodohnya.

Maka dari kerana kemalangan diri Pak Kadok itu sentiasa di perbuat orang akan bidalan oleh sekalian mereka pada zaman sekarang dengan seloka, demikianlah bunyinya: Aduhai malang Pak Kadok! Ayamnya menang kampung tergadai Ada nasi di curahkan Awak pulang kebuluran Mudek menongkah surut Hilir menongkah pasang Ada isteri di bunuh Nyaris mati oleh tak makan Masa belayar kematian angin Sudah di labuh bayu berpuput Ada rumah bertandang duduk.

Si Tanggang

Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya. Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang. Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.

Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya. “ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang. “ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma dengan gembira. Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang salai. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.

“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya. “ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu. “ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.
Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif sekali. “ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si Tanggang. Mukanya merah padam kerana malu dan marah.

“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu, nak “ kata Si Deruma.
“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut. Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”

Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.

“ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang.
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.